LONDON 7 April - Ferrari akan menerima bayaran yang lebih tinggi berbanding pasukan Formula Satu (F1) yang lain meskipun menamatkan saingan musim lalu sebagai naib juara di belakang Mercedes, menurut laporan yang diterbitkan semalam.

Autosport.com yang memperoleh maklumat lengkap pembayaran ketika Grand Prix Bahrain minggu lalu, menyatakan bahawa Ferrari bakal menerima AS$192 juta (RM748 juta) yang menyaksikan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 2015.

Bagaimanapun, maklumat berkaitan jumlah terbabit belum lagi diumumkan oleh pengurusan F1.

Pasukan ternama Itali itu yang sudah menceburkan diri F1 sejak 1950 kini beroleh AS$70 juta (RM273 juta) sebagai ganjaran terhadap sumbangan yang sudah dilakukan sepanjang pembabitan mereka dalam sukan permotoran itu.

Pemenang kategori pengeluar jentera dan pemandu untuk dua musim lalu, Mercedes pula bakal menerima AS$171 juta (RM666 juta) dan tempat ketiga, Williams pula menerima AS$87 juta (RM338 juta).

Red Bull yang menduduki tangga keempat pada 2015 boleh menjangkakan perolehan sebanyak AS$144 juta (RM561 juta) berdasarkan pembayaran yang sudah dirundingkan berjumlah AS$35 juta (RM136 juta dan AS$ 39 juta (RM151 juta)- selepas bonus untuk pengeluar jentera bagi empat kejuaraan berturut-turut dalam tempoh 2010 dan 2013.

McLaren yang mengharungi musim terburuknya pada 2015 dan menamatkan saingan di tangga kesembilan secara keseluruhan, bakal menerima AS$82 juta (RM319 juta) berdasarkan bonus pengeluar jentera sebanyak AS$32 juta (RM124 juta) sementara Sauber yang bergelut sekadar menerima AS$54 juta (RM210 juta).

Force India yang meraih pencapaian peribadi terbaik di tangga kelima dengan menerima AS$67 juta (RM261 juta) meskipun perolehan ini meningkat sebanyak 12 peratus berbanding 2014.

Hasil itu dikumpulkan menerusi yuran tuan rumah perlumbaan, hak media, penajaan trek serta khidmat hospitaliti.

Autosport melaporkan perolehan bagi 10 pasukan terbabit 2015 adalah sebanyak AS$965 juta (RM3.75 billion) dengan peningkatan sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Autosport turut melaporkan pengurusan F1 (FOM) mencatatkan pendapatan kasar sebanyak AS$1.9 billion (RM7.4 billion) dengan kutipan hasil sebanyak AS$1.4 billion (RM5.4 billion) pada 2015.

Supremo F1, Bernie Ecclestone menyatakan kepada pemberita di Bahrain bahawa FOM akan 'membayar kepada pasukan secara kolektif pada penghujung tahun ini dengan nilai hampir berbillion dolar'.

"Jika saya adalah promoter di konsert pop, saya mahu melihat persembahan yang lebih baik daripada mereka yang akan kita bayar sebanyak berbilion dolar itu," katanya merujuk kepada pasukan yang menerima bayaran paling besar tidak memenangi kejuaraan kategori pelumba mahupun pengeluar. - REUTERS