KUALA LUMPUR 7 April - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membantu pasukan bola sepak kebangsaan bagi meningkatkan lagi prestasi pemain.

Tunku Ismail berkata, JDT akan membantu pasukan kebangsaan dari segi aspek penggunaan fasiliti latihan JDT, penggunaan Stadium Larkin dan perkongsian idea antara dua pihak.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan bersama barisan jurulatih dan pihak pengurusan pasukan kebangsaan, semalam.

“Setelah berjumpa, saya telah membuat keputusan yang Kelab Bola Sepak JDT akan membantu pasukan kebangsaan dari pelbagai cara seperti memberi kebenaran untuk mereka menggunakan kemudahan-kemudahan seperti fasiliti latihan JDT, penggunaan Stadium Larkin untuk perlawanan-perlawanan penting dan berkongsi idea serta pendapat berkaitan apa sahaja yang perlu terhadap pasukan kebangsaan.

“Saya percaya adalah penting untuk semua pihak bekerjasama demi kepentingan pasukan kebangsaan kita,” katanya.

Sebelum ini, jurulatih JDT, Mario Gomez telah mengkritik cara pengendalian jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Pengendali Argentina itu mengakui kecewa kerana setiap kali pulang beraksi ada sahaja pemainnya yang mengalami kecederaan dan menghadapi masalah prestasi merudum.