KUALA LUMPUR 30 April - Dua anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah Cheras, parah selepas ditetak dua lelaki dipercayai penagih dadah dalam serbuan di Jalan Kuari, di sini, semalam.

Ketika serbuan jam 6 petang itu, dua anggota terbabit bersama seorang pegawai dan anggota lain sedang menjalankan pemeriksaan di sebuah stor kosong di kawasan Kampung Tangki Air, Jalan Kuari, Cheras.

Lokasi terbabit disyaki adalah tempat atau 'port' kumpulan penagih dadah di kawasan berhampiran melepaskan gian selain turut dipercayai tempat untuk aktiviti pengedaran dadah.

Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak polis mendapati pintu stor berkunci selain mengesan dua lelaki berada dalam stor berkenaan sebelum mengarahkan suspek membuka pintu, tetapi mereka enggan menurut arahan.

Tidak berapa lama selepas itu, dua suspek meluru keluar secara tiba-tiba sambil menghayun dan melibas parang sehingga terkena dua anggota berpangkat Konstabel dan Koperal, sebelum melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

Dua anggota terbabit dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.