KEMAMAN 19 April – Seorang bekas penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini atas tuduhan terlibat dengan militan IS.

Siti Noor Aishah Atam, 29, yang memakai baju kurung hijau dan bertudung hitam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.

Mengikut kertas pertuduhan, Siti Noor Aishah didakwa memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas militan Daesh (IS) di alamat Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang, Dungun, kira-kira jam 12.25 tengah hari pada 22 Mac lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Mona Shazwani Kamarul Zaman dan Syazwani Nawawi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan di bawah akta tersebut tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Dungun.