GEORGE TOWN 7 April - Seorang petugas Jabatan Pengangkutan Jalan cedera parah, selepas diserang suaminya yang bersenjatakan pedang samurai di Penaga, berhampiran Butterworth, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, lelaki berusia 33 tahun itu bertindak menyerang isterinya yang berumur 34 tahun, gara-gara cemburu, dengan disaksikan tiga anak mereka.

Sumber-sumber polis memaklumkan, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kepala Batas oleh jirannya.

Wanita itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan dalam keadaan stabil.

Seorang jiran memberitahu Utusan Online, sejurus serangan itu, si suami bertindak melarikan diri bersama tiga anaknya yang masing-masing berusia 9, 6 dan 5 tahun, dengan menaiki Proton Wajanya.

Jiran mendakwa suspek adalah seorang penagih dadah dan mereka ternampak kereta dipandu lelaki itu menuju ke arah Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai, ACP Azmi Adam yang dipetik akhbar itu berkata, polis akan melancarkan operasi untuk mengesan suspek dan anak-anaknya.

Menurutnya, suspek telah dibuang kerja beberapa tahun lalu.