JOHOR BAHRU 7 April - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di luar pintu masuk Parlimen, kelmarin adalah berlandaskan undang-undang serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) polis.

Beliau berkata, penahanan Naib Presiden PKR itu juga tidak membabitkan sebarang pencabulan kuasa, sebaliknya mengikut segala perundangan yang ditetapkan.

"Saya mempertahankan tindakan pegawai saya menahan Rafizi di luar Parlimen kerana ia (penahanan) dilakukan selepas Ketua Akauntan Negara membuat laporan polis terhadap beliau (Rafizi) kerana mendedahkan kandungan dokumen kerajaan yang diklasifikasikan sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Selepas laporan polis dibuat, maka kita mengambil tindakan dengan menahan Rafizi bagi membantu siasatan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup mesyuarat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.