KUALA LUMPUR 6 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berkaitan pendedahan dokumen firma guaman Mossack Fonseca atau Panama Papers.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata pihaknya akan menyiasat dalam aspek sumber maklumat serta kesahihan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, jika ada aduan dibuat bagi tujuan berkenaan.

"Setakat ini belum ada aduan meminta SKMM menyiasat dokumen berkenaan. SKMM bertindak berdasarkan aduan dan jika ada mana-mana pihak mengadu atau meminta bantuan untuk ambil tindakan berkaitan Panama Papers, SKMM akan bertindak," katanya.

Beliau yang ditemui media di lobi Parlimen sebentar tadi, mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu SKMM menyiasat kesahihan sumber kebocoran 11.5 juta dokumen firma guaman berpangkalan di Panama itu.

Panama Papers mengaitkan pemimpin dunia, selebriti dan bintang sukan tersohor dengan skandal membabitkan urusan kewangan rahsia luar pesisir.

Urusan kewangan luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi sesetengah pihak menyalahgunakannya untuk menyembunyikan aset daripada dicukai, membersihkan keuntungan aktiviti jenayah atau menyembunyikan kekayaan diperoleh secara haram selain manfaat politik.