PUTRAJAYA 6 April - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Naib Presiden PKR itu dibawa oleh beberapa anggota polis ke mahkamah di sini pada jam 1.50 petang dan turut diiringi beberapa peguam, termasuk R Sivarasa.

Rafizi ditahan jam 6.05 petang semalam sejurus keluar dari bangunan Parlimen mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana membuat kenyataan media berhubung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mengaitkannya dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).