SERI KEMBANGAN 4 April - Sembilan bas yang ditempatkan di depoh RapidKL terbakar di Akademi Bas Balakong, Cheras Selatan, malam semalam.

Dalam kejadian itu, enam bas dilaporkan hangus terbakar 100 peratus, manakala tiga lagi terbakar antara 40 hingga 60 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.29 malam.

Sejurus itu, pasukan dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kajang dan BBP Serdang dengan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II C Veeraperumal bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, 15 anggota bomba sukarela dari Balakong turut membantu dalam operasi itu.

"Laporan awal dapati kebakaran melibatkan lapan buah bas telah terbakar. Bomba bekerja keras memadamkan api dan kebakaran berjaya dikawal jam 12.05 tengah malam.

"Operasi itu berakhir sepenuhnya pada jam 2 pagi," katanya.

Bagaimanapun, Sani berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.