KOTA KINABALU 4 April - Tongkang Anand 12 dipercayai milik bot tunda Brahma 12 yang dirampas kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan Filipina pada 26 Mac lalu, ditemui terapung dalam kawasan perairan Tungku di Lahad Datu.

Ia ditemui pada jam 1.05 tengah hari semalam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Lahad Datu (PM17), susulan maklumat orang awam.

Pengarah APMM Daerah Sandakan, Kapten Maritim A Razak Abd Rahman, berkata tongkang itu dipercayai hanyut dari Terumbu Alice di Filipina sebelum memasuki perairan Malaysia.

"Hasil maklumat orang awam, PM17 menggerakkan dua aset iaitu Bot Kilat 51 dan Banggi 35, manakala Pasukan Polis Marin (PPM) menggerakkan Bot PA 47 ke kawasan perairan berkenaan bermula jam 10.30 pagi tadi.

"Tongkang berkenaan ditemui hasil kerjasama erat pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan PPM Lahad Datu," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

A Razak berkata, ketika ditemui, tongkang berkenaan dalam keadaan terapung kira-kira 8.4 batu nautika timur laut Platform Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan 13.7 batu nautika dari tenggara Tanjung Tungku.

"Hasil pemeriksaan mendapati, tiada orang di atas tongkang dan ia mengandungi batu berwarna hitam dipercayai arang batu.

"Sebuah bot tunda yang disewa ESSCOM menunda tongkang itu ke Jeti Fordeco Lahad Datu dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat PM17 untuk siasatan lanjut," katanya.

Pada 26 Mac lalu, seramai 10 warga Indonesia dijadikan tebusan selepas kapal mereka dirampas di perairan Filipina. Kementerian Luar Indonesia dilaporkan berkata, pemilik bot pukat tunda dan tongkang arang batu yang dirampas itu menerima dua panggilan telefon, didakwa daripada militan Abu Sayyaf yang menuntut wang tebusan.

Bot tunda itu, Brahma 12 dan tongkang Anand 12 yang membawa 7,000 tan arang batu belayar dari Sungai Putting di Kalimantan ke Batangas di selatan Filipina.