Tindakan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus berusaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dari kerusi Perdana Menteri dipersoal jika ia bagi memenuhi impiannya untuk meletakkan anaknya di kerusi itu.

Laporan portal myKMU hari ini menjelaskan, strategi Mahathir dilihat seolah-olah membuka ruang seluas-luasnya buat Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencapai kerusi tersebut.

Tulisnya, Mahathir sebelum ini pernah menyebut Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak sesuai menjadi Perdana Menteri kerana faktor umurnya yang terlalu tua.

Kata Mahathir, Anwar sekarang berumur 74 tahun dan hanya berpeluang untuk jadi Perdana Menteri pada umur lebih dari 80 tahun yang mana tidak lagi relevan.

Manakala, ‘ayam tambatan’ Mahathir buat masa ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikhuatiri akan terkesan dengan alasan faktor umur yang sama di mana umurnya sekarang adalah 69 tahun.

“Pada pandangan penulis, jika benar Allah izinkan Najib dijatuhkan pada pemilihan agung UMNO pada tahun 2018, dan Muhyiddin menang merebut jawatan Presiden, maka ketika itu umur Muhyiddin adalah 71 tahun. Mukhriz ketika itu, mungkin menjadi Timbalan Presiden berusia 54 tahun.

“Jika dirujuk pada garis panduan ‘umur’ yang dikatakan Mahathir itu, maka Muhyiddin tidak akan lama di kerusi Presiden UMNO atau Perdana Menteri. Paling kuat pun hanya sepenggal saja. Jika Muhyiddin enggan turun, maka beliau berkemungkinan besar akan ‘diturunkan’. Jika degil juga, mungkin akan ada satu lagi ‘deklarasi’ ketika itu…,” tulisnya.

“Mungkin itulah kehendak Mahathir sebelum ‘tutup mata’. Mungkin itulah impian warga emas itu hingga sanggup turun ke pasar malam untuk kumpul tandatangan mahu menjatuhkan Najib,” tambahnya lagi.

Malah, penulis itu juga memesan jika demikian impian Mahathir, ia mungkin bukan semudah yang dirancang kerana apabila bercakap soal pilihan raya, ia bukan hanya babitkan populariti atau kehendak, namun lebih kepada angka dan realiti jumlah undi.

“Mungkin beliau lupa tentang statistik 92% DAP paling meningkat kemenangannya di peringkat parlimen pada PRU ke-13 dulu.

“Maka mungkin menyedari hal itulah maka DAP tidak teragak-agak turun padang dan mengerah semua jentera serta NGO-NGO pro-DAP untuk membantu Mahathir menjahanamkan BN dan UMNO. Mungkin Lim Guan Eng sudah ‘terbayang’ kerusi Perdana Menteri?,” petik kata myKMU lagi.