KUALA LUMPUR 6 April - Kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri masih kukuh kerana pembangkang gagal menarik sokongan rakyat, kata firma antarabangsa, Nomura.

Penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama pemimpin pembangkang dalam usaha menjatuhkan Najib menerusi Gerakan Selamatkan Malaysia dan Deklarasi rakyat dengan mengumpul sejuta tandatangan tidak mengugat kedudukan Najib.

Malah, kerjasama itu lebih menunjukkan kepincangan strategi pakatan tersebut, kata firma antarabangsa itu, seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

“Kami percaya Najib tidak akan akur dengan tuntutan sedemikian, seperti yang dapat dilihat melalui perkembangan politik tahun lalu,” kata kumpulan Nomura dalam kenyataan melalui laman sesawangnya.

Menurut firma yang berpangkalan di Jepun itu, sebahagian besar pemimpin pakatan pembangkang masih meragui niat sebenar Dr Mahathir mencetuskan gerakan menjatuhkan Perdana Menteri.

“Dr Mahathir memberi jawapan yang kurang jelas apabila ditanya siapakah yang akan menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri dan sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan sekiranya gerakan itu berjaya,” kata kumpulan Nomura.

Sementara itu, Kumpulan Nomura yakin Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak.