KANOWIT 29 April - Kepercayaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa Barisan Nasional (BN) sekali lagi akan membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri 7 Mei ini harus menjadi motivasi yang cukup bagi rakyat Sarawak memilih semua calon BN.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata oleh itu mereka tidak harus mensia-siakan undi mereka dengan memberi kepada calon pembangkang atau calon Bebas.

"Pengesahan oleh Kit Siang menunjukkan bahawa DAP mengakui rakyat memberi sokongan padu kepada BN.

"Jadi mengapa memberi undi anda kepada parti politik atau kumpulan serpihan yang tidak boleh membentuk kerajaan?," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kuil Fung Chin Kung di Pedai, dekat sini, hari ini.

Pada hakikatnya, katanya, DAP dan sekutunya PKR bertembung sesama sendiri dalam sekurang-kurangnya enam kerusi kerana gagal mencapai kesepakatan dalam peruntukan agihan kerusi pada pilihan raya ini.

"Mereka berjuang demi kepentingan parti sendiri dan oleh itu, sekiranya mereka menang, mereka tidak dapat membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil," katanya.

Sebaliknya, Salleh berkata BN adalah sebuah gabungan yang mampu membawa pembangunan dan pembaharuan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Jadi mengundi calon BN di kawasan anda jika ingin suara lantang dalam kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendengar dan menyelesaikan masalah anda," katanya.

Sementara itu, mengulas slogan DAP untuk perubahan, Salleh berkata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah melaksanakan 53 dasar-dasar transformasi untuk kemakmuran rakyat negeri ini.

"Tidak ada keperluan untuk DAP menggesa rakyat Sarawak menukar kerajaan yang sedia ada kerana ia sudahpun berada dalam tangan yang baik," katanya.

Hadir sama, calon BN Ngemah, Alexander Vincent.