KUCHING 26 April - Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang menang tanpa bertanding di Bukit Sari, akan turun padang membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) khususnya di Ba'Kelalan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Naib Presiden Kanan PBB itu berkata, usaha menggemblengkan tenaga dan jentera parti adalah perlu untuk merampas kembali kerusi itu yang disandang Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

"Saya akan turun padang dan tolong calon-calon BN sedaya mungkin, tetapi keutamaan akan diberikan bagi kerusi Ba'Kelalan," katanya kepada pemberita sebelum majlis pelancaran Manifesto BN, di sini hari ini.

Ba'Kelalan menyaksikan satu lawan satu antara Bian dan calon BN, Willie Liau. Pada pilihan raya negeri yang lepas, Bian memperoleh 2,505 undi untuk menewaskan Liau, dengan majoriti 473 undi.