MIRI 26 April - Berbeza dengan dirinya yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat, penyandang DUN Senadin, Datuk Lee Kim Shin menyifatkan pembangkang hanya mempergunakan masalah rakyat untuk publisiti mereka.

Dalam sidang media di pejabat SUPP Senadin hari ini, beliau membentangkan ‘kad laporan lima tahun’ sepanjang penggal lalu.

“Ini adalah 101 perkara yang saya lakukan dalam masa lima tahun ini. Kalau nak sebut semua, sampai ribuan,” katanya memetik laporan FMT.

Antara yang disenaraikan adalah penyiapan jambatan paling panjang di Miri iaitu Jambatan Asean pada 2013 dengan kos RM115 juta, pembinaan 34 rumah dan baikpulih 110 rumah untuk keluarga miskin tegar dan bantuan tahunan kepada golongan ibu tunggal.

“Ini bukan politik remeh-temeh yang hanya kritik tetapi tiada hasil, seperti pembangkang yang hanya tahu keluarkan kenyataan media,” katanya lagi.

Beliau mendakwa ada penduduk dewan undangan negeri yang dikuasai pembangkang yang datang berjumpa dengannya untuk mengadu masalah.

“Saya tanya kenapa anda tidak jumpa wakil rakyat anda. Mereka jawab pembangkang hanya pergunakan masalah mereka untuk publisiti.

“(Wakil rakyat pembangkang) hanya bangkitkan masalah, tetapi tidak selesaikannya,” kata Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak itu lagi.

Dua daripada lima kerusi DUN di Miri dikuasai DAP, iaitu di Pujut dan Piasau.

DUN Senadin merupakan kerusi majoriti Cina dengan 26,986 pengundi. Pada PRN lalu, Lee berjaya mempertahankan kerusi itu hanya dengan 58 undi majoriti.

Selain ‘kad laporan’, beliau juga menyatakan rancangan lima tahun jika memenangi pilihanraya ini, antaranya untuk menaiktaraf Hospital Miri sebagai Hospital Wilayah Utara Sarawak dan membina lebih banyak rumah kos rendah.

“Dari kawasan hutan dan tanah gambut, Senadin menjadi kawasan yang maju di Miri dalam masa 20 tahun. Pada 7 Mei ini, saya merayu agar mereka terus beri peluang kepada saya untuk bersama-sama memajukannya,” katanya lagi.