KUCHING 26 April - Parti pembangkang gagal bekerjasama sebagai sebuah pasukan, seperti yang berlaku kepada Pakatan Rakyat sebelum ini, apatah lagi memberi harapan kepada rakyat.

Orang kuat Barisan Nasional (BN), Datuk Awang Tengah Ali Hassan berpendapat, buktinya adalah pertembungan sesama parti pembangkang di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini.

“Mereka sedang berperang sesama sendiri. Pakatan Harapan tidak akan mampu memberi harapan kepada rakyat.

“Adakah ini satu bentuk kepimpinan yang sepatutnya memberi kita harapan? Mereka tidak mampu selesaikan pertikaian sesama sendiri, macam mana mereka hendak membentuk sebuah kerajaan?” soal Awang Tengah di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Sehubungan itu, penyandang kerusi Bukit Sari yang menang tanpa bertanding semalam, berharap rakyat Sarawak akan sedar, apa sahaja harapan yang dijanjikan pemimpin pembangkang tidak akan menjadi kenyataan.

“Mereka mungkin cuba memperdaya pemikiran rakyat, tetapi hakikatnya mereka tidak mampu berbuat demikian,” kata Naib Presiden Kanan PBB itu.

Menerusi perjanjian bertulis berhubung pengagihan kerusi yang ditandatangani PKR dan DAP pada 7 April lalu, kerusi Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga diperuntukkan kepada PKR.

Manakala kerusi Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum pula diberikan kepada DAP.

Bagaimanapun, PKR dilihat ‘mencabuli’ persetujuan pembahagian kerusi itu dengan bertanding menentang DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

DAP pula membalas dengan meletakkan calonnya menentang PKR di Batu Kitang.