KUCHING 26 April - Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan manifesto parti bertemakan 'Beri Peluang Kepada TeamAdnan #theAdnanWay dengan menggariskan 15 perkara utama dalam usahanya mengekalkan kemenangan penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 7 Mei depan.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, melancarkan manifesto itu pada satu majlis di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Jalan Bako, di sini sebentar tadi.

BN menjadi parti politik pertama melancarkan manifesto bagi pilihan raya negeri ke-11. Sementara, PKR dan DAP mengumumkan manifestonya bersama dijadual jam 11 pagi ini, disusuli parti pembangkang tempatan termasuk SNAP.

Manifesto BN diterbitkan dalam empat bahasa - Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan bahasa Cina, turut memuatkan perutusan Adenan.

Adenan pada sidang media selepas pelancaran menjelaskan manifesto PRN kali ini, mengandungi 53 prinsip dan tindakan, dengan rangkuman kepada dua perkara utama iaitu komitmen sudah dilakukan BN sejak dua tahun lalu serta perancangan untuk masa depan.

Berikut senarai 15 teras utama dalam manifesto PRN BN:

1. Menegakkan hak rakyat Sarawak dan rakyatnya

2. Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita

3. Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak

4. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka

5. Melindungi dan memulihara alam semulajadi

6. Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik

7. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana

8. Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi

9. Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan

10. Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi

11. Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan kita

12. Memajukan pendidikan dan latihan teknikal

13. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak

14. Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan

15. Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.