KUCHING 26 April - Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Watson Bangau dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Bawang Assan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta.

“Biar saya mengulangi bahawa kami (PBB) tidak akan dan tidak membenarkan mana-mana ahli parti menentang mana-mana calon BN.

“Mana-mana ahli yang melanggar pendirian ini akan dikenakan tindakan sama,” kata Rundi dalam satu kenyataan, semalam.

Pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei ini diadakan semalam.

Kerusi Bawang Assan bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon langsung BN, Datuk Seri Wong Soon Koh, Wong Sing Wei (STAR), Chiew Sung Ngie (DAP) serta dua calon Bebas, iaitu Watson dan Yeu Bang Keng.

Sementara itu, Soon Koh yang bersedia mempertahankan kerusinya dalam pertandingan lima penjuru itu, tidak menjangka berdepan calon PBB.

Ketika mengisi borang penamaan calon di Dewan Suarah semalam, beliau terkejut melihat Watson menunggu gilirannya.

“Saya ingat beliau adalah kawan daripada parti yang sepatutnya berdiri di sisi saya.

“Saya mengenalinya dan asal daripada keluarga yang terkenal di Bawang Assan,” kata bekas Presiden UPP itu, sebuah parti serpihan SUPP.

Beliau tidak tahu kenapa Watson bertanding sebagai calon Bebas untuk menentangnya.

Ditanya sama ada beliau tidak mempunyai kelebihan selepas keluar daripada UPP untuk bertanding sebagai calon langsung BN, Wong berkata: “Tidak…rakyat mengenali saya sebagai anggota BN dan calon ‘Pasukan Adenan’.