KUALA LUMPUR 21 April - Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong yakin parti itu kini 'berpecah dua' sejak kewujudan Deklarasi Rakyat yang dicetuskan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Lum Yong, situasi itu ketara apabila wujud dua suara dalam parti berkenaan yang membawa dua agenda berbeza, iaitu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan memperjuangkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah menurut beliau, Mahathir berjaya memecahkan PKR dengan 'menukar' agenda hakiki parti itu yang dulunya berjuang demi kepentingan Anwar, kepada agenda peribandinya untuk menjatuhkan Najib.

"Saya ingat PKR ini tentang Deklarasi Rakyat dilancarkan oleh Tun Mahathir yang bekerjasama dengan parti pembangkang dan sekarang kita boleh nampak deklarasi ini seolah-olah PKR nak jadikan bukan tujuan asal, hanya untuk bebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Matlamatnya memang tidak sehaluan dengan Mahathir, oleh itu kita boleh nampak deklarasi ini seolah-olah hanya dijalankan oleh pihak tertentu sahaja, dan bukan PKR kerana matlamat tidak sama.

"Inilah satu masalah besar yang berlaku di PKR, dia akan ada cita-cita sendiri. Semasa ia dijalankan dan matlamat asal bukan sedemikian," katanya kepada Antarapos.

Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac lalu hasil gabungan Mahathir dengan Pakatan Harapan (PH), memfokuskan agenda penyingkiran Najib selaku Perdana Menteri, dan tidak langsung menyebut mengenai pembebasan Anwar.

Perkara itu juga tidak pernah dinyatakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan barisan kepimpinan PKR pada hari Deklarasi Rakyat ditandatangani.

Lantas Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil pendekatan tegas untuk memasukkan agenda pembebasan bekas ketua pembangkang itu dalam perjuangan rakyat yang diketuai Mahathir.

"Kita boleh nampak sekarang PKR sudah pecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang diketuai oleh (Datuk Seri) Azmin Ali, dan satu lagi oleh Presiden (Datuk Seri) Wan Azizah Wan Ismail.

"Daripada dalaman ini, memang sekarang berpecah kerana kita boleh nampak Azmin Ali akan hadir dalam himpunan Selamatkan Malaysia dan Wan Azizah mahupun Nurul Izaah hingga hari ini tidak pernah hadir program ini," katanya.

Azizah sebelum ini terkilan dengan kenyataan Mahathir yang mendakwa Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya.

Malah Mahathir mempertahankan tindakannya memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 ekoran menganggap pemimpin itu 'tidak bermoral'.