KUALA LUMPUR 18 April - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Sri Azalina Othman Said menyelar kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengakui sebagai individu yang menubuhkan Puteri Umno.

Azalina yang merupakan Ketua Puteri Umno pertama menulis di laman Twitternya berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal relevan di mata rakyat.

"Muhyiddin tergamak perlekeh parti semata-mata angkat diri sendiri sebagai hero.

"Muhyiddin mengaku sebagai hero yang tubuhkan Puteri Umno. Ini tidak benar," tulisnya.

Semalam, Muhyiddin dalam ceramahnya di Parlimen Pengerang mendakwa beliau adalah orang yang bertanggungjawab memberikan galakkan kepada Azalina untuk menubuhkan Puteri Umno.

Menurut Azalina tindakan Muhyiddin mengadakan jelajah di seluruh negara mengkritik kepimpinan Umno hanya memecah belahkan parti.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut berharap Muhyiddin dapat bersikap lebih matang dalam tindakan beliau.

"Muhyiddin jangan buat-buat lupa apa Umno Bahagian Pengerang pernah buat untuk beliau. Pernah sokong beliau sebagai Timbalan Presiden," tulisnya lagi.