SHAH ALAM  5 April - Sengketa politik antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim belum berakhir.

Semalam, kedua-duanya ‘bertikam lidah’ di Dewan Negeri Selangor (DNS) berhubung isu penyusunan semula industri air di negeri itu.

Azmin langsung tidak memberi peluang kepada bekas Menteri Besar Selangor itu menjawab tuduhan yang dilemparkan sebelum ini yang mendakwa Khalid membayar lebih 12 peratus ekuiti pulangkan aset bukan air kepada Puncak Niaga dan mengambil tanah dikhaskan untuk Loji Langat 2 dan menjualnya kepada syarikat swasta, Bolton.

Khalid cuba menjawab tuduhan itu ketika membahaskan usul penyata Jawatankuasa Pilihan ABBAS dengan menerangkan mengenai rasionalnya penyusunan industri air di Selangor.

Bagaimanapun, Azmin mencelah dan mempersoalkan kewajaran Khalid membangkitkan perkara berkenaan dan meminta Speaker Datuk Shafee Ngah memperjelaskan isu sebenar yang diperbahaskan iaitu kualiti air.

Azmin turut mendakwa bahawa perbahasan Khalid telah menyimpang dari usul penyata Jawatankuasa Pilihan ABBAS yang dibentangkan.

“Keduanya, beliau cuba mempengaruhi dewan dengan kenyataan yang telah dijawab Kerajaan Negeri. Selaku ADUN Pelabuhan Klang dia ada tanggungjawab moral dan kewajipan untuk hadir dalam dewan ini dengar penjelasan Kerajaan Negeri. Bukan bercakap di luar.

“Dan sekarang mengapa desak Kerajaan Negeri ulang keterangan yang diberikan sedangkan dia ada peluang untuk hadir mendengar penjelasan tapi dia pilih untuk tak hadir dan jawab di luar.

“Sebab itu Speaker kena tegas, kalau tidak akan ada ahli dewan gunakan dewan, ini penghinaan kepada sistem dewan. Ini kita tak mahu benarkan,” tegasnya.

Speaker kemudiannya meminta Khalid untuk membahaskan berhubung isu kualiti air.

Khalid berkeras menyatakan apa yang mahu diterangkannya adalah bagaimana untuk mencapai kualiti air tanpa mempedulikan arahan Speaker.

Katanya, dalam menyelesaikan isu air, Azmin tidak boleh bercakap perkara yang tidak betul dan tuduhan sebelah pihak yang dibuat Azmin terhadapnya sebelum ini adalah tidak benar.

Kenyataan Khalid itu membuatkan Azmin berang dan bangun sekali lagi serta meminta Speaker untuk bertegas kerana Khalid telah menyimpang jauh dari syor dan penemuan yang dibuat.

“Dia nak ambil masa ini utk pengaruhi dewan dan media di luar sana seolah apa yang dinyatakan ini berasaskan ketelusan dan integriti beliau,” kata Azmin.

Pertikaian yang berlarutan selama 16 minit itu kemudiannya ditenteramkan oleh Speaker yang mahu Abdul Khalid untuk membuat kesimpulan daripada perbahasannya.