KUALA LUMPUR 4 April - Penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa siri agenda pembangkang memperlihatkan bahawa beliau tidak konsisten menyatakan pendirian sebenar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ia terbukti dengan kehadiran Mahathir dalam perhimpunan Mansuh GST anjuran Pakatan Harapan, Sabtu lalu.

“Saya melihat motif beliau adalah bersifat peribadi kerana jika dirujuk pada Deklarasi Rakyat yang beliau tandatangani itu, tujuannya bertukar-tukar. Sekejap isu GST, sekejap isu desak perdana menteri berundur dan sekejap isu yang lain.

“Pada hemat saya, kehadiran beliau itu menimbulkan tanda tanya. Saya sukar menjangka apa hala tuju perjuangan yang dibawa oleh beliau,” katanya kepada Sinar Harian.

Sabtu lalu, penyokong Pakatan Harapan berkumpul di tiga lokasi utama iaitu di Masjik Jamek, Pasar Seni dan Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan supaya GST dimansuhkan.

Pemimpin utama Pakatan Harapan yang turut hadir adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Kemuncak perhimpunan itu menyaksikan kehadiran Mahathir diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kira-kira jam 5.15 petang.

“Penglibatan beliau bercanggah dengan apa yang pernah beliau suarakan sewaktu menjadi perdana menteri.

“Dahulu, beliau tidak mahu terlibat dengan sebarang bentuk perhimpunan yang boleh menjejaskan keamanan dan keselesaan rakyat,” katanya.