TEMERLOH 4 April - Pembangkang menggunakan strategi menyerang kepimpinan dan peribadi Perdana Menteri, Dauk Seri Najib Tun Razak untuk‎ menjatuhkan kerajaan setelah pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini menemui jalan buntu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, taktik kotor itu dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas mereka gagal mengambil alih pemerintahan negara daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kini mereka menyerang kepimpinan dan peribadi perdana menteri pula dengan pelbagai isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun telah diputuskan beliau tidak terbabit, katanya.

“Mereka mengasak dengan pelbagai isu bertujuan untuk mempengaruhi rakyat agar membenci kerajaan dan pemimpin BN dengan harapan mereka boleh menang pada PRU ke-14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Umno cawangan Temerloh di sini hari ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, lebih malang lagi apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut terperangkap dengan mainan politik yang dilakukan oleh pembangkang apabila bersekongkol dengan mereka mengadakan Deklarasi Mahathir.

Ismail Sabri berkata, bekas presiden parti itu dilihat sudah tidak boleh mengawal tindakannya sehingga 'bersahabat' dengan pembangkang sedangkan sebelum ini beliau sendiri mencemuh pemimpin dan dasar politik yang diperjuangkan oleh pembangkang.

“Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap pembangkang kerana apa saja yang dilakukan perdana menteri untuk kebaikan rakyat dan negara semuanya salah pada pandangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sengaja menimbulkan pelbagai isu untuk menghancurkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa pemimpin dan anggota parti kembali merapatkan saf dan terus bersatu demi keamanan dan kesejahteraan negara.