KUALA LUMPUR, 28 April – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH yang baharu iaitu Datuk Johan Abdullah.

Pengerusi TH, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Johan Abdullah akan mengambil alih tugas CEO TH pada 16 Mei ini manakala sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Julai ini.

Johan Abdullah yang kini Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan akan menggantikan Tan Sri Ismee selaras dengan Pelan Pengantian TH yang telah rancang sejak Januari 2015 lalu.

“Johan Abdullah menyertai TH pada 15 Januari 2015 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Sebelum menyertai TH, Johan Abdullah merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, BIMB Holdings Berhad.

“Beliau berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Morehead State, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Eastern Michigan, AS serta berpengalaman luas dalam sektor kewangan korporat, pasaran modal dan kewangan Islam,” kata Abdul Azeez.

Dalam pada itu, kepimpinan dan visi Ismee juga dihargai kerana telah menyumbang kepada kejayaan TH sehingga memperoleh pengiktirafan dan penghormatan di peringkat antarabangsa.

“Di bawah kepimpinan Tan Sri Ismee, TH telah berjaya mempelbagaikan portfolio pelaburan serta aliran pendapatannya. Buat kali pertama, pendapatan TH mencecah lebih RM4 bilion manakala keuntungan selepas zakat dan cukai melebihi RM3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

“Dalam tempoh sepuluh tahun, sejak awal 2006 sehingga 2015, TH mencatatkan keuntungan terkumpul melebihi RM18 bilion selain TH juga telah berjaya menanggung subsidi operasi haji berjumlah RM815 juta dan mengekalkan bayaran haji muasassah sebanyak RM9980 sejak 2009,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.