KUALA LUMPUR 27 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos hari ini mengetuai rombongan bersama dua keluarga nelayan dari Sekinchan, Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika di perairan Malaysia ke Batam bagi memenuhi hasrat menemukan kedua-dua keluarga dengan mangsa nelayan tersebut.

Dato' Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berharap pertemuan ini dapat mengubat rasa rindu pihak keluarga mangsa setelah sekian lama tidak bersua sejak ditahan di Batam pada 3 Mac lalu.

Pertemuan ini merupakan langkah awal bagi memastikan kedua-dua mangsa nelayan dapat dibebaskan pihak penguatkuasa Indonesia menerusi proses rundingan.

Dato' Jamal berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Lapangan Terbang Subang di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Wisma Putra bagi memastikan dua nelayan dari Sekinchan yang ditahan pihak penguatkuasa Indonesia dibebaskan.