KUALA LUMPUR 26 April - Krisis melibatkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hanya boleh diselesaikan dengan cara melantik Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Ahmad Razif sukar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar kini kerana isu yang melibatkannya dengan Sultan Terengganu seperti peribadi.

“Isu ini seperti isu peribadi. Kalau peribadi ni susah sikit. Sebab dalam pentadbiran (negeri)hubungan dengan Sultan amat penting.

“Kalau hubungan dengan Sultan tu tak berjalan dengan baik, jadi susah. Jalan terbaik mungkin Menteri Besar kena ditukarkan kepada Menteri Besar baru tapi masih dalam pentadbiran Barisan Nasional,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.

Beliau diminta mengulas krisis yang berlaku di Terengganu apabila Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran dan gelaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Mohd Azizzuddin berkata, jika mengikut fakta kes yang melibatkan Menteri Besar dan Sultan sebelum ini, secara kebiasaannya Menteri Besar akan ‘mengalah’.

Katanya, berkemungkinan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Sultan Terengganu dalam masa terdekat adalah bagi menggelakkan peralihan kuasa kepada pembangkang kerana perbezaan kerusi antara BN dan pembangkang hanya dua kerusi.

Untuk rekod, BN hanya berkelebihan dua kerusi di Dewan Undangan Negeri Terengganu iaitu 17 kerusi berbanding PAS 14 dan PKR 1.

Najib dijadual menghadap Sultan Terengganu dalam waktu terdekat ini bagi menyelesaikan krisis itu.

Terengganu sebelum ini berhadapan beberapa krisis pelantikan Menteri Menteri yang bermula apabila Datuk Seri Ahmad Said dipilih bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh dan selepas itu Ahmad diarah meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif.