KUALA LUMPUR 22 April - Jerebu yang melanda Lembah Klang sejak kelmarin berpunca daripada asap kebakaran di beberapa kawasan di Semenanjung termasuk kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Langat dan Sepang, Selangor.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan cuaca panas dan kering sekali gus menyebabkan pencemar udara terapung di udara.

"Pada masa ini, tiada pengaruh jerebu merentas sempadan kerana negara masih berada dalam musim peralihan monsun yang dijangkakan sehingga pertengahan Mei ini.

"Kes-kes kebakaran sedang giat dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ia adalah terkawal," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 3 petang tadi menunjukkan status kualiti udara tidak sihat iaitu bacaan melebihi 100 di beberapa kawasan di Lembah Klang disebabkan pencemar ozon aras bumi.

Wan Junaidi berkata keadaan cuaca panas terik dan peningkatan pencemar oksid-oksid nitrogen (NOx) dan Sebatian Organik Meruap (VOC) telah menyumbang kepada peningkatan IPU itu.

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia sehingga semalam, daerah Klang dan Kuala Selangor tidak mengalami hujan selama lapan hari berturut-turut," katanya.

Sementara itu, laman sesawang jabatan itu menunjukkan beberapa kawasan yang dilanda jerebu di Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU sederhana setakat 9 malam ini berbanding bacaan IPU tidak sihat petang tadi.

Antara kawasan terlibat ialah Shah Alam daripada bacaan IPU 122 kepada 86, Batu Muda (106 kepada 77), Cheras (131 kepada 78) dan Petaling Jaya (103 kepada 73).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.