KUALA LUMPUR 21 April - Bukan hanya manusia, malah ayam turut terjejas dengan cuaca panas El Nino, demikian menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, cuaca panas yang melanda negara kini menyebabkan ayam mengalami stres yang menyebabkan proses pembesarannya terbantut.

“Ini boleh berlaku. apabila ada penternak ayam yang masih menggunakan kaedah lama, iaitu kaedah reban terbuka. Apabila suhu tinggi, kadar stres ayam akan meningkat, contohnya daripada 38 hari menjadi 40 hari untuk mencapai berat tertentu,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku Taib, sama ada bekalan ayam dan daging terjejas akibat cuaca panas, terutama menjelang bulan Ramadan.

Menurut Ahmad Shabery, keadaan cuaca panas akan menyebabkan pengeluaran ayam berkurangan antara lima hingga 10 peratus.

“Apabila bekalan ayam berkurangan, kita bimbang rakyat pula akan stres,” katanya.

Bagi menangani keadaan itu, beliau berkata, penternak ayam kini lebih banyak menggunakan kaedah reban tertutup yang membolehkan suhu di dalam reban dikawal.

“Untuk menghadapi bulan puasa, semua keperluan telah diatur, bermula sekarang kadar penetasan ayam telah ditambah. Jika bekalan masih belum mencukupi, kementerian bersedia mengimport ayam bagi memastikan harganya stabil,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam laporan media sebelum ini memaklumkan, fenomena El Nino yang menyebabkan Malaysia dilanda cuaca panas terik dan kemarau, dijangka berakhir Jun ini.