BENTONG 21 April - Dua serpihan yang ditemukan di Mozambique dan Afrika Selatan yang diteliti Laporan Pemeriksaan Teknikal yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah mengesahkan bahawa serpihan ini hampir pasti milik kepunyaan MH370.

Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Seri Liow Tiong Lai berkata laporan itu menunjukkan kedua-dua serpihan adalah dari sayap pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang itu.

“Kuat mengatakan bahawa serpihan pesawat itu adalah milik MH370 kerana yang pasti serpihan pesawat itu berasal daripada serpihan Boeing 777 yang merupakan pesawat yang digunakan oleh MH370.

“Penstensilan pada kedua-dua serpihan memberi penyiasat bukti hubungkait. Fon dan warna pada nombor yang distensilkan pada bahagian pertama menyamai apa yang dibangunkan dan digunakan oleh Malaysia Airlines (MAS),”katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat PIBG di Sekolah Menengah Kebangsaan Chemomoi, di sini pagi tadi.

Tiong Lai berkata ini menunjukkan bahawa Lautan Hindi Selatan merupakan tempat di mana MH370 telah terhempas.

Menurutnya, serpihan ini juga sedang dikaji dengan lebih teliti untuk mengetahui bagaimana serpihan ini boleh jatuh atau terhempas di Laut Hindi Selatan.

Tambahnya, kerajaan Malaysia sudah mendapat kerjasama yang baik dari kerajaan Mozambique dan Afrika Selatan untuk meneruskan misi mencari lebih banyak serpihan pesawat.

“Mereka akan membantu kita dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah ini. Buat masa sekarang kita tidak perlu menghantar pasukan penyiasat kerana pihak Mozambique dan Afrika Selatan sedang menolong kita. Mereka akan memaklumkan kepada kita sekiranya terjumpa serpihan lagi.

“Mereka mula merancang untuk mencari di sekitar persisiran Pantai Mozambique dan Afrika Selatan selain memfokuskan di kawasan 120000 kilometer persegi.

Kedua-dua serpihan itu ditemukan berasingan di Mozambique pada Disember tahun lepas dan Februari tahun ini.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada masa ini, usaha mencari dilakukan di selatan Lautan Hindi yang mana laluan penerbangan MH370 dipercayai berakhir.