KUALA LUMPUR 18 April - Lebih 500 nelayan dari Sekinchan hari ini, sekali lagi menganjurkan protes di hadapan Kedutaan Indonesia bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan penguatkuasa perikanan negara itu yang didakwa menangkap ‎serta menahan bot rakyat Malaysia di perairan Malaysia.

Bantahan ini diketuai Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos.

Turut hadir Ketua MCA Bahagian Sungai Besar, Kek Seng bersama pimpinan komponen BN yang lain.

Kesemua nelayan membawa kain rentang bagi menyatakan bantahan ke atas tindakan penguatkuasa perikanan Indonesia.

Sementara itu, Dato' Jamal ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kecewa dengan Kerajaan Indonesia dan Malaysia yang masih tidak mengambil sebarang tindakan dalam membela nasib para nelayan yang menjadi mangsa kezaliman penguatkuasa negara jiran itu.

"Saya mewakili para nelayan yang hadir hari ini sekali lagi meminta keprihatinan dari kedua-dua negara agar masalah ini dapat diselesaikan.

"Sudah dua kali kami hadir ke kedutaan Indonesia bagi mendesak perkara ini diselesaikan.

"Malah saya sendiri sudah berulang kali ke Wisma Putra. Akan tetapi, ianya masih gagal diselesaikan," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga amat bersimpati dan khuatir dengan nasib keluarga nelayan-nelayan yang sehingga hari ini masih ditahan di Indonesia tanpa sebarang pembelaan dari kedua-dua buah negara.

Dato' Jamal juga menuntut agar bapa kepada anak angkat beliau, Yu Chuan, 5 tahun, atau lebih mesra dengan panggilan Ah Boy mendapat pembelaan seadil-adilnya dari terus dizalimi.

"Saya kasihan dengan keluarga nelayan yang menjadi mangsa kezaliman penguatkuasa Indonesia yang menghadapi tekanan fizikal dan mental.

"Malah nelayan-nelayan di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam semakin takut untuk turun ke laut kerana khuatir akan menjadi mangsa penganiayaan pihak penguasa Indonesia.

"Nelayan kita sudah alami kerugian ratusan ribu ringgit, kerana sejak awal tahun ini puluhan bot kita yang telah ditahan‎. Oleh itu, kami sekali lagi mendesak pihak berwajib negara ini dan Indonesia supaya memberi perhatian yang serius.


"Kami juga menuntut agar pemerintah Indonesia memulangkan semula dengan kadar segera bot-bot nelayan Malaysia yang telah ditahan kepada pemiliknya yang sah," katanya.

Beliau memaklumkan sedang berusaha untuk ke Batam dalam masa terdekat ini bagi menuntut keadilan berhubung perkara ini.

Tegasnya, maklumat dan bukti secara jelas menunjukkan bahawa kesemua bot nelayan yang ditahan berada pada kedudukan di perairan Malaysia.

"Saya juga akan adakan pertemuan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek pada esok tengahari bagimembincangkan isu ini," katanya.

Dato' Jamal dilihat memasuki bangunan Kedutaan Indonesia sekitar jam 3:30 petang sejurus mengadakan sidang media bagi menyerahkan memorandum kedua terhadap tuntutan tersebut.