KANGAR 16 April - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mencapai ke tahap memberi ancaman kepada negara.

Beliau berkata, ancaman itu dibuat Tun Mahathir apabila sering kali mengkritik sistem demokrasi berparlimen di negara ini melalui ucapannya.

Katanya, Tun Mahathir cuba menggambarkan seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di negara ini, walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 bakal berlangsung tidak sampai dua tahun sahaja lagi.

"Tun Mahathir adalah seorang negarawan yang kita hormati jadi pada masa yang sama kita minta dia menghormati Perlembagaan Persekutuan kita dan janganlah dia cuba untuk menimbulkan persoalan-persoalan yang mana boleh ditakrifkan sebagai mengancam demokrasi berparlimen di negara kita.

"Saya dah bagi tahu bahawa PDRM. Tanggungjawab kami membuka kertas siasatan.

"Empat kertas siasatan telah kita buka dan kita akan berunding dengan Jabatan Peguam Negara. Selepas rundingan itu bukan tanggungjawab kita," kata Khalid pada media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Jenayah Permasalahan sempadan, di Kangar, Perlis, hari ini.

Sebelum ini, Tun Mahathir dilihat secara terbuka lantang mengkritik kerajaan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk berhubung isu derma RM2.6 bilion dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).