PUTRAJAYA 15 April - Kenyataan terbaharu Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir mengenai derma RM2.6 bilion menunjukkan apa yang dicanang blok pembangkang selama ini adalah tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut Azalina, penjelasan Adel itu juga mengukuhkan lagi kenyataan bahawa derma itu diberikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Sebelum ini ramai yang mempertikaikan mengenai kenyataan Peguam Negara bahawa wang derma itu bukan daripada 1MDB, sebaliknya datang daripada Arab Saudi.

"Namun kumpulan Deklarasi Rakyat terus mengelirukan rakyat dengan menuduh Perdana Menteri terlibat menyeleweng dana 1MDB," ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Pengesahan Menteri Luar Arab Saudi itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Turki.

Azalina antara lain percaya bahawa rakyat semakin jelas mengenai isu ini dan tidak akan mudah terpedaya dengan tuduhan-tuduhan palsu untuk menjatuhkan perdana menteri.

"Terbaharu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut membuktikan yang perdana menteri tidak terlibat dalam apa-apa salah laku dalam urusan syarikat 1MDB.

"Jadi siapa yang berbohong selama ini?" soal Azalina.