KUALA LUMPUR 7 April - Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada hari ini mengumumkan diskaun 50 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran Mara yang gagal pengajian bagi meringankan beban hutang mereka.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemberian diskaun ini diberikan kepada mereka yang membuat bayaran balik secara sekali gus daripada baki pinjaman semasa mereka.

"Kepada peminjam yang gagal menamatkan pengajian dan terpaksa menanggung beban hutang dengan Mara, saya umumkan diskaun 50 peratus kepada mereka," katanya dalam satu sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, pihak Mara sekali lagi bersetuju memberi tambahan diskaun sebanyak 20 peratus kepada peminjam Pinjaman Pelajaran Mara yang mendapat tajaan pada tahun 2010 dan sebelumnya yang lulus pengajian tetapi tidak mendapat kemudahan Pengurangan Bayaran Balik.

Sebelum ini, pada 25 Mac lalu, Mara mengumumkan diskaun 50 peratus kepada kategori ini, sekali gus membabitkan diskaun 70 peratus diberi kepada mereka.

Selain daripada itu, tambahan diskaun 20 peratus diberi kepada peminjam Pinjaman Pelajaran Mara yang layak mendapat kemudahan Pengurangan Bayaran Balik termasuk yang telah memperolehi Pengurangan Bayaran Balik.

Permohonan boleh dibuat secara atas talian di portal Mara sehingga 31 Disember 2016.

Setakat ini, peminjam yang membuat Pinjaman Pelajaran Mara adalah seramai 171,000 orang, iaitu sama ada masih meneruskan pengajian atau sudah tamat.