TAWAU  6 April - Tiga kru kapal tunda yang dipintas kumpulan penculik di perairan Ligitan, Semporna, Jumaat lalu, tampil menceritakan detik cemas berdepan kumpulan bersenjata itu.

Kapten kapal Massive 6 dikenali sebagai Herwandi, 30-an, warga Indonesia, berkata sebelum kejadian, dia ternampak sekumpulan lelaki bersenjata menaiki sebuah bot menghala laju merapati kapal tunda mereka, namun menyangka mereka anggota keselamatan maritim Malaysia.

"Jadi saya sediakan segala dokumentasi, namun sebaik kumpulan itu mengacukan senjata ke arah kami, barulah kami sedar mereka ada niat tidak baik.

"Kumpulan seramai lapan orang yang bertopeng itu mengambil masa 25 minit sebelum melarikan empat kru warga Malaysia sebaik kapal tunda masuk perairan berhampiran Pulau Ligitan," katanya ketika ditemui di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, sebentar tadi.

Yang turut hadir pada sidang media itu ialah dua lagi kru warga Indonesia, Petrus Karel Eduard dan Ismail Birahim, masing-masing berusia 20-an. Mereka bersama tiga kru warga Myanmar dibebaskan oleh kumpulan penculik dalam kejadian jam 6.15 petang Jumaat lalu.

Herwandi berkata, kumpulan itu tidak bertindak kasar selain menggunakan senjata sebagai isyarat supaya empat kru warga Malaysia mengikut menaiki bot mereka.

"Sebaik mereka pergi, saya hubungi majikan dan menceritakan apa yang berlaku. Walaupun trauma, saya harap empat rakan kami itu selamat dan dibebaskan secepat mungkin," katanya.

Ismail pula berkata, kumpulan penculik memilih mangsa secara rawak termasuk dirinya, namun akhirnya mengarahkan hanya empat warga Malaysia itu mengikut mereka.

"Penculik ada beritahu mereka tak mahu duit, sebaliknya cuma mahu bawa lari empat mangsa," katanya.