KOTA KINABALU 6 April - Kerajaan Negeri sebulat suara mengambil keputusan menggantung dan menghentikan serta-merta sebarang aktiviti perniagaan tukar barang (barter trade) dan aktiviti perdagangan petroleum serta gas di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, keputusan terbabit adalah sebagai langkah proaktif bagi memastikan insiden penculikan yang berlaku di perairan negeri itu tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata, antara langkah lain yang diputuskan adalah penangguhan pelaksanaan feri penumpang antara Sabah dan negara Filipina menggunakan pelabuhan di daerah Kudat ke Palawan (Filipina).

"Keputusan menggantung serta-merta aktiviti barter trade di seluruh Sabah dan aktiviti perdagangan petroleum dan gas secara perkapalan di kawasan ESSZone ini menunjukkan Kerajaan tidak mahu berkompromi lagi mengenai hal-hal keselamatan.

"Pelaksanaan perintah berkurung di Pantai Timur juga akan diubah suai serta berkuatkuasa sepenuhnya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri, di sini, sebentar tadi.

Musa menambah, kerajaan turut sudah mengarahkan pasukan keselamatan untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja atau bot-bot dan kapal-kapal yang melanggar arahan di kawasan ESSZone.

Tegasnya, keputusan-keputusan terbabit diambil susulan beberapa insiden penculikan yang berlaku di Pantai Timur Sabah dan terbaru, membabitkan empat kru kapal tunda diculik oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata api berhampiran sempadan Pulau Ligitan, Semporna, pada 1 April lalu.