MANILA 21 April - Calon pilihan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran bahawa beliau bersedia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat dan Australia selepas duta kedua-dua negara itu mengkritik gurauannya membabitkan insiden rogol seorang mubaligh wanita di penjara.

Duterte turut memaklumkan kedua-dua duta itu supaya menutup mulut ketika kontroversi berterusan membabitkan kenyataan beliau hanya mahu menjadi individu pertama merogol wanita Australia yang dikasari dan dibunuh dalam satu kes rusuhan penjara pada 1989.

"Jika saya menjadi presiden, saya akan memutuskan hubungan diplomatik," kata Duterte, 71, dalam ucapan kempen, malam tadi merujuk kepada hubungan sekutu paling rapat Filipina, Amerika Syarikat dan Australia.

Ketika berkempen, Duterte pernah menggelarkan Pope sebagai anak haram dan berjanji membunuh beribu-ribu penjenayah selain mengimbau pada satu perhimpunan, baru-baru ini sebahagian daripada manifesto tegas terhadap jenayah kepada pengundi. - AFP