MADRID 13 April - Jenayah kebencian anti-Islam meningkat lebih 10 kali ganda di Sepanyol pada tahun 2015, kata sebuah persekutuan Islam penting di negara itu semalam susulan siri serangan ke atas masjid.

Presiden Persekutuan Entiti Agama Islam Sepanyol, Mounir Benjelloun berkata, sejumlah 534 insiden anti-Islam termasuk pelanggaran dalam talian direkodkan tahun lalu, meningkat daripada 48 pada 2014.

"Jenis kekerasan meningkat apabila berlaku tindakan keganasan di negara Eropah dilakukan pelampau IS," katanya.

Beliau memetik contoh serangan Januari 2015 ke atas majalah satira mingguan Charlie Hebdo, polis dan sebuah pasar raya Yahudi di Paris yang mengorbankan 17 orang serta serangan serentak ke atas restoran, dewan konsert dan stadium bola sepak di ibu kota Perancis itu November 2015, menyebabkan 130 maut.

Polis Sepanyol berkata semalam, mereka mengenal pasti 14 orang dikaitkan dengan kumpulan haluan kanan yang mengambil bahagian dalam bantahan di luar masjid utama di sini susulan serangan bom di lapangan terbang Brussels dan stesen kereta api bawah tanah.

Penunjuk perasaan berkumpul di Masjid Omar di ibu kota ini serta meletakkan sepanduk bertulis: "Hari ini Brussels, esok Madrid?"

Polis berkata, pendakwa raya sedang menyiasat jika 14 orang itu boleh didakwa dengan jenayah kebencian.

Kesatuan Masyarakat Islam Sepanyol mengeluarkan satu kenyataan ketika itu berkata, "kumpulan pelampau" bertekad "memanipulasi pendapat umum dengan cuba berkumpul semula dan menyalurkan kebencian ke arah umat Islam."

Juga semalam, polis di Parla, pinggir selatan ibu kota ini berkata, mereka menahan seorang lelaki dikaitkan dengan kumpulan haluan kanan kerana disyaki menyimbah cat merah di pintu masuk masjid dan melukis lambang Nazi Jerman pada pintunya.

Sejak Brussels, masjid yang diserang dirosakkan di bandar lain di Sepanyol termasuk Salamanca di barat dan Granada di selatan, kata Riay Tatary, ketua Suruhanjaya Islam Sepanyol yang mewakili 1.89 juta penduduk Islam di negara itu. -AFP