MUAR 5 April - Pelakon, Benjy dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Muar sebentar tadi atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 28.99 gram.

Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 38, dituduh memiliki dadah berkenaan Mac tahun lalu.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes 'prima facie' terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, rakannya, Raja Shariff Hidayatullah Raja Shariffuddin, 29, yang juga orang kena tuduh pertama diperintah membela diri atas pertuduhan yang sama selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesnya.

Mengikut pertuduhan, Benjy bersama Raja Shariff Hidayatullah didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 28.99 gram pada kira-kira jam 1.40 pagi 23 Mac tahun lalu ketika sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Pagoh-Muar, di sini.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Muhammad Hidayat turut menetapkan 3 dan 5 Mei ini sebagai tarikh Raja Shariff Hidayatullah untuk membela diri.