KUALA LUMPUR 29 April - Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menamatkan tempoh perkhidmatan esok, meluangkan masa berjumpa dengan pegawai dan kakitangan, selepas menghadiri mesyuarat panjang, hari ini.

Gabenor Bank Negara itu yang memakai baju kurung warna biru kelihatan sebak, sebaik turun sekejap ke ruang legar Bank Negara untuk menemui pegawai dan kakitangan, sebelum naik semula untuk meneruskan mesyuarat.

"Saya amat fokus. Saya hanya melakukan apa yang saya perlu lakukan dan malangnya, saya tidak mempunyai masa untuk bersalaman bagi memenuhi permintaan mereka (pegawai dan kakitangan).

"Saya minta maaf kerana tidak dapat untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka sepanjang perkhidmatan saya," katanya selepas bersalaman dengan kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) malam ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara yang baharu untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei ini.

Pelantikan beliau mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri.

Dr Zeti berkata, beliau tidak dapat bersemuka dan bersalaman dengan kakitangan BNM sebelum ini kerana mempunyai jadual padat termasuk program di Washington, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang menunggunya dan membuat liputan sepanjang perkhidmatannya.

"Saya mempunyai sehari lagi, sebelum menamatkan perkhidmatan. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua sepanjang perkhidmatan saya," katanya.