KUALA LUMPUR 28 April - Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur dalam sesi awal hari ini walaupun berlaku pantulan dalam bursa serantau lain.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada 2.59 mata lebih rendah pada 1,689.75 berbanding penutup semalam 1,692.34, selepas dibuka 3.64 mata lebih lemah pada 1,688.70.

Pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 145 berbanding 89, dengan 131 kaunter tidak berubah, 1,377 tidak diniagakan dan 54 lagi digantung.

Perolehan berjumlah 158.07 juta saham bernilai RM79.25 juta.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata berita pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai gabenor Bank Negara Malaysia baharu semalam membantu mengimbangi kerugian hari sebelumnya.

Sementara itu, keputusan Rizab Persekutuan mengekalkan kenaikan kadar faedah berperingkat ditambah kenaikan harga minyak di tengah-tengah rekod tertinggi inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS), memberikan impak positif kepada kebanyakan pasaran saham, kata seorang peniaga.

Antara saham utama, Maybank dan IHH masing-masing susut satu sen kepada RM8.94 dan RM6.63, TNB turun enam sen kepada RM14.34, manakala Public Bank dan Petronas Chemical tidak berubah pada RM18.76 dan RM6.70.