KUALA LUMPUR 24 April - A&W (Malaysia) Sdn Bhd, unit milik penuh KUB Malaysia Bhd, merancang membuka 10 cawangan menjelang akhir tahun sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyusun semula perniagaan.

Setakat ini pada tahun ini, pengendali rantaian makanan segera itu telah membuka cawangannya di kawasan R&R Seremban dan menjangka membuka lebih banyak cawangan di Puchong, Seremban, Gong Badak, Bukit Mertajam dan Batu Pahat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samad Mohd Shariff, berkata kos untuk membuka restoran baharu di gedung membeli belah atau sebagai cawangan kendiri adalah antara RM600,000 hingga RM1 juta.

"Secara umumnya, kos berjumlah dalam anggaran angka-angka itu dan juga bergantung kepada lokasi, kerana cawangan dalam gedung membeli belah mungkin lebih kecil berbanding cawangan kendiri," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan promosi terbaharu A&W 'Aloha Chicken Burger' di acara Aloha Party, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kesan kelembapan ekonomi, Samad berkata, A&W akan mengambil pendekatan lebih agresif untuk menghadapi situasi sekarang dan yakin akan berada di kedudukan lebih kukuh pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, cabaran terbesar (untuk membuka cawangan baharu) adalah mencari tapak yang mampan dan kami adalah sangat kecil berbanding pesaing lain dalam industri makanan segera," katanya.

Acara Aloha Party diadakan bagi memperkenalkan promosi akan datang, Aloha Chicken Burger dan melancarkan tiga perisa coney dog baharu, iaitu Uncle Ringo, Mister Pickle dan Miss Mush.

Samad berkata syarikat itu menyasar menjual 60,000 coney dog daripada tiga perisa baharu itu yang dijadualkan berada dalam menu bermula 10 Mei, 2016.

Turut hadir ialah Pengerusi A&W Malaysia, Datuk Jamelah A. Bakar, dan Presiden KUB Malaysia Bhd, Datuk Abdul Rahim Mohd Zain.