ISKANDAR PUTERI 16 April - i2M Ventures Sdn Bhd (i2M), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd melancarkan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Iskandar dalam usaha merangsang pelaburan dan peluang pekerjaan di wilayah ini.

Program khusus yang bertujuan menggalakkan syarikat tempatan dan asing menubuhkan operasi GBS mereka di Iskandar Puteri itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood dan Pengarah Urusan i2m, Zulfiqar Zainuddin.

Zulfiqar berkata, GBS Iskandar menyasarkan untuk meraih pelaburan berjumlah RM6.5 bilion dan mewujudkan sebanyak 14,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, i2M menerusi fasa permulaannya sudah mewujudkan 2,300 pekerjaan bernilai tinggi di Iskandar Puteri dan menarik lapan syarikat beroperasi di kawasan itu.

"Kami bekerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab perkhidmatan perniagaan bertaraf dunia di bawah Projek Permulaan (EPP) 2 yang terangkum dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Program Transformasi Ekonomi (ETP)," katanya.

Zulfiqar berkata, lokasi Iskandar Puteri yang strategik berhampiran Singapura dan kos yang lebih rendah, mahir dalam pelbagai bahasa dan modal insan berkemahiran menjadikannya lebih ideal sebagai hab perkhidmatan perniagaan bagi syarikat multinasional dan ibu pejabat serantau yang berpangkalan di republik itu.