KUALA LUMPUR 15 April - Khazanah Nasional Bhd giat membangunkan lebih ramai usahawan baharu yang mampu menjadi pemangkin perubahan dalam agenda pembangunan negara.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata sejak krisis 1998 hingga 2004, pihaknya banyak menumpukan usaha untuk menstabilkan syarikat, namun selepas itu, Khazanah mula menjual aset bukan teras yang diharapkan dapat membantu melahirkan usahawan baharu.

Bagi menjayakan sasaran berkenaan, katanya, pengurus pelaburan strategik negara itu secara aktif cuba mendapatkan keseimbangan yang betul kerana baginya terdapat perkara yang perlu diterajui institusi, manakala ada bahagian lain yang perlu dipimpin usahawan.

Beliau berkata, beberapa kes pelupusan yang dilaksanakan sebelum ini menerusi model 'penjanaan keluar' atau kaedah bebas secara berhati-hati, kini terbukti menjadi pemangkin perubahan besar.

"Kami berada di dalam pasaran untuk mencari lebih banyak situasi sedemikian, namun Khazanah juga memainkan peranan penting sebagai penjaga aset strategik negara.

"Sebagai contoh, dalam beberapa sektor strategik seperti lebuh raya dan syarikat penerbangan yang juga aset penting negara, kami tidak boleh sewenang-wenangnya menjualnya tanpa membuat penilaian sewajarnya.

"Malah, ada juga pihak persendirian yang mendakwa mereka boleh melakukan ini dan itu. Kami mendengar tetapi pada masa sama kami mahu mereka tunjuk bukti kerana kita perlu pastikan pihak terbabit layak serta berkemampuan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama wartawan kumpulan NSTP di sini, baru-baru ini.