KUALA LUMPUR 6 April - Ringgit pulih daripada penyusutan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini seiring peningkatan permintaan kerana ketidaktentuan berhubung kemungkinan peningkatan kadar faedah AS.

Pada 9 pagi, ringgit dibuka tinggi pada 3.9210/9260 berbanding dolar AS daripada 3.9215/9275 yang dicatatkan semalam.

Harga kontrak hadapan minyak Brent, naik 35 cents pada AS$38.04 setong selepas mencecah paras terendah dalam tempoh sebulan pada AS$37.27 setong.

Seorang wakil peniaga berkata, langkah berhati-hati Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan kadar faedah berikutan data ekonomi negara itu yang tidak menggalakkan, menyemarakkan minat terhadap mata wang Asia termasuk ringgit.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit bagaimanapun diniagakan rendah.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.8918/8972 daripada 2.8900/8966 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.5539/5600 daripada 3.5485/5549 semalam.