KUALA LUMPUR 29 Mac - Selepas lebih kurang 10 tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain perseorangan lelaki, Chong Wei Feng akhirnya membuat keputusan meninggalkan badan induk itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, sebentar tadi.

Peletakan jawatan Wei Feng sebagai pemain kebangsaan itu berkuat kuasa 1 Mei ini.

"Kami ada menerima surat peletakan jawatan Wei Feng semalam dan kami menerima keputusan itu.

"Bagi pihak BAM, saya mengucapkan terima kasih kepada Wei Feng di atas sumbangannya kepada skuad negara," kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat CTC di pejabat BAM di sini, sebentar tadi.

Sepanjang bersama BAM, Wei Feng yang berusia 29 tahun berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura.

Dia juga beraksi cemerlang ketika membantu skuad negara muncul naib juara Piala Thomas 2014 di New Delhi, India.

Norza yang juga Timbalan Presiden BAM turut memaklumkan, pemain beregu campuran, Tan Aik Quan juga membuat keputusan meninggalkan badan induk itu berkuat kuasa 1 Mac lalu.