MELAKA 29 Mac - Saingan mengisi benteng terakhir skuad Harimau Malaysia yang bakal berdepan Macau di Stadium Hang Jebat, di sini, malam ini, dilihat membabitkan perebutan tiga penjaga gawang.

Ini kerana penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang berdepan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, Jumaat lalu, sudah pun dicabar dua calon lain.

Turut kenali sebagai Apek, penjaga gawang Kelantan itu kini menerima saingan hebat daripada pemain Johor Darul Ta'azim (JDT), Izham Tarmizi dan Farhan Abu Bakar dari Kedah.

Jurulatih penjaga gol Harimau Malaysia, Young Wai Huang mengesahkan perkembangan itu.

Beliau berkata, walaupun Apek menunjukkan prestasi terbaik pada aksi di Jeddah minggu lalu, peluang buat Izham dan Farhan terbuka luas selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang sesi latihan.

"Setakat ini peluang mereka adalah terbuka. Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee akan menentukan siapa yang akan beraksi menjelang perlawanan malam ini.

"Apa yang penting fizikal dan mental mereka amat kuat untuk mengawal gawang pada perlawanan antarabangsa kelas A terbabit. Tekad mereka untuk membantu kejayaan Malaysia amat tinggi.

"Justeru saya menyerahkan sepenuhnya di bahu dan kebijaksanaan mereka menutup semua peluang lawan menjaringkan gol, selepas semua tips mengawal kubu diberikan," katanya.

Wai Huang berkata, dia sudah mengingatkan perlawanan berkenaan adalah maruah negara, diri dan pasukan.

Sesi latihan selepas pulang dari Arab Saudi menyaksikan Izham dan Farhan menjalani latihan lebih berat di gimnasium manakala Apek di beri sedikit rehat, manakala petang Ahad dan semalam di Stadium Hang Tuah semua pemain diberi pendedahan sama.