KUALA LUMPUR 22 Mac - Juara lima kali Terbuka British Datuk Nicol David terpaksa menggunakan segala pengalamannya bagi melepasi halangan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka British 2016 menentang pemain Mesir daripada pusingan kelayakan, Mayar Hany pada Isnin.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.allambritishopensquash2016.com, pemain Malaysia berusia 32 tahun itu memenangi set pertama, 11-8 sebelum beliau hampir-hampir ditewaskan oleh pemain Mesir itu selepas ketinggalan 8-9.

Bagaimanapun Nicol mengekalkan momentumnya dan mendahului 2-0 dalam set kedua.

Pada aksi pusingan ketiga, Nicol berjaya menguasai rentak perlawanan dan mengikat perlawanan 11-0 dalam perlawanan yang berlangsung 26 minit yang diadakan di gelanggang kaca di Arena Airco.

Pusingan pertama dan kedua Terbuka British diadakan serentak di gelanggang kaca, Arena Airco dan Pusat Sukan Universiti Hull di Hull, England.

"Apabila anda bermain dengan seseorang buat kali pertama, ia akan mengambil masa yang lama untuk mengagak apa yang akan dilakukannya dan saya perlahan-lahan mula mengikut rentaknya dalam dua perlawanan pertama," kata Nicol.

"Pada kedudukan 8-9 saya tahu saya mesti bekerja keras dan lebih klinikal. Saya perbaiki permainan dan terus mengekalkan momentum itu hingga ke pusingan ketiga.

"Saya dapat rasakan permainan saya lebih baik sebaliknya dia semakin penat. Anda tidak harus fikirkan perkara lain dan harus fokus sebaliknya dia buat beberapa kesilapan. Saya gembira memenangi perlawanan ini dengan keputusan 3-0," kata Nicol.

Sementara itu, tuah tidak menyebelahi dua lagi pemain Malaysia, Low Wee Wern dan Mohd Nafiizwan Adnan yang terpaksa mengalah kepada lawan masing-masing. Wee Wern terpaksa menarik diri daripada perlawanan itu kerana mengalami kecederaan selepas terjatuh pada set keempat.

Pemain berusia 25 tahun itu tewas 0-2 kepada pemain Hong Kong Joey Chan dalam set pertama dan kedua dan kembali bangkit dalam set ketiga apabila memenangi 12-10 bagaimanapun terpaksa menarik diri dalam set keempat selepas mengalami kecederaan.

Joey mara ke pusingan kedua selepas memenangi perlawanan itu menewaskan Wee Wern 11-5, 11-9, 10-12 and 10-8 (menarik diri).

Mohd Nafiizwan tewas kepada pemain Afrika Selatan Stephen Coppinger 3-11, 13-11, 3-11 dan 5-11 dalam tempoh 54 minit. Seorang lagi pemain Malaysia, Delia Arnold akan menentang Line Hansen dari Denmark, petang ini.