MANCHESTER 17 Mac - Jurgen Klopp menegaskan dia dan anak buahnya langsung tidak gentar dan sebaliknya mahu memanfaatkan kelebihan dua gol yang dimiliki untuk menyingkirkan Manchester United sekali gus layak ke suku akhir Liga Europa.

Barisan Louis van Gaal terdesak untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol pada aksi kedua apabila kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford, awal pagi esok waktu Malaysia.

Namun Klopp mengingatkan anak buahnya supaya 'lebih berani dan agresif' pada aksi timbal balik kedua ini selepas mereka tewas dua kali kepada lawan sama pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

"Ini bola sepak dan bola itu bulat. Apa saja boleh berlaku. Tetapi saya tidak takut mengenai perlawanan ini.

"Kami memiliki peluang dan sudah melakukan yang terbaik pada aksi terdahulu dan ada kelebihan untuk perlawanan ini.

"Namun ia masih tidak sempurna kerana kami tidak mendahului dengan enam gol. Jadi tiada aksi yang mudah esok (awal pagi nanti)," kata pengendali Jerman itu.

Klopp yang masih memburu trofi pertamanya di England selepas terlepas trofi Piala Liga apabila tewas di tangan Manchester City, turut bersedia berdepan kebangkitan United.

"Ia pasti aksi yang sukar namun tidak menjadi masalah buat kami. Kami mahu memanfaatkan peluang yang sukar diperoleh dan kami akan cuba melakukan yang terbaik.

"Sejak saya tiba di sini, aksi ini adalah kali ketiga saya menentang United dan kami sentiasa memberi tentangan kepada mereka.

"United masih ada 100 peratus peluang untuk layak ke suku akhir tetapi kami tahu apa yang perlu kami lakukan pada aksi itu nanti," katanya. -AFP