SHAH ALAM 15 Mac - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak akan terburu-buru bertindak menggantikan ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan susulan prestasi The Red Giants tidak konsisten sejak kebelakangan ini.

Pengurusnya, Amirudin Shari, berkata masih terlalu awal untuk mengambil tindakan itu kerana prestasi pada musim ini boleh dianggap lebih baik, berbanding musim lalu.

Beliau berkata, dalam lima perlawanan musim lalu, The Red Giants hanya mampu mengumpul lapan mata manakala musim ini pasukan itu mengutip 10 mata selepas meraih tiga kemenangan, masing-masing satu seri dan satu kekalahan.

"Kita tidak boleh melakukan perubahan hanya berdasarkan kritikan di laman sosial. Bagi saya masih terlalu awal untuk menilai prestasi pasukan, namun ia tidak bermakna kita 'selesa' dengan kritikan yang diberikan.

"Kita tidak marah tetapi mahu semua yang terbabit perlu sedar terutama pengurusan The Red Giants dengan membaiki beberapa kelemahan supaya pasukan ini dapat terus bersaing," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan proses penggantian rumput di Stadium Shah Alam, di sini, semalam.

Amirudin berkata, melalui pengalamannya, jika beliau akur dengan kritikan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter, jurulatih Selangor mungkin sudah bertukar 12 kali setahun.

"Tahun lalu, desakan menukar pengendali Selangor, Mehmet Durakovic berlaku sejak Januari hingga September, tetapi selepas The Red Giants ke suku akhir Piala Malaysia, barulah desakan itu hilang.

"Yang menghairankan selepas menang Piala Malaysia, sebahagian besar yang mendesak supaya Durakovic ditukar mahu jurulatih itu dikekalkan untuk musim ini.

"Kita bertindak berdasarkan fakta, bukan kerana kritikan. Ketika ini, untuk menukar pemain juga tidak boleh dilakukan kerana ia hanya dapat dilakukan selepas Jun nanti," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata The Red Giants dijangka dapat beraksi semula di Stadium Shah Alam menjelang saingan Liga Super menentang Kedah 5 April ini.

Beliau berkata, penanaman rumput paling tahan iaitu jenis `cow grass' dan kerja menanam rumput di padang stadium itu dijangka selesai pada 18 atau 19 Mac ini.