MADRID 3 Mac - Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane memuji usaha skuad kendaliannya selepas empat pemain mengalami kekejangan di hujung perlawanan ketika menewaskan Levante 3-1, awal pagi tadi.

Zidane terpaksa melakukan empat perubahan dalam aksi itu selepas dibelenggu dengan masalah kecederaan dan penggantungan yang menyaksikan mereka tewas 1-0 di laman sendiri kepada Atletico Madrid, Sabtu lalu sekali gus secara realistik memadamkan harapan Real merangkul gelaran La Liga.

Bagaimanapun, ia membolehkan Borja Mayoral yang berumur 18 tahun tampil buat kali pertama dalam saingan La Liga serta pemain muda seperti Lucas Vazquez dan Casemiro.

Semua tiga pemain itu bagaimanapun mengalami kekejangan manakala Toni Kroos dilihat kepenatan di hujung perlawanan, namun Zidane memuji barisannya selepas mempersoalkan kekuatan mental dan sikap mereka selepas kekalahan kepada Atletico.

"Ini yang sepatutnya kami perlu lakukan. Kami semua perlu berlari dan memberi komitmen," kata Zidane.

"Saya jangka empat atau lima pemain yang tidak kerap bermain akan penat. Itu perkara biasa tetapi saya gembira dengan persembahan keseluruhan pasukan.

"Apabila anda tidak banyak bermain, ia adalah sukar tetapi ia tidak dipamerkan hari ini."

Ketiadaan Sergio Ramos, menyaksikan Pepe kembali sebagai kapten dan dia menegaskan pemain tidak perlu diingatkan lagi soal ketinggalan 12 mata di belakang Barcelona selepas kekalahan kepada Atletico.

"Kami tidak perlu jurulatih untuk memberitahu supaya kami bekerja lebih kuat, sebaliknya peminat yang mahukan daripada kami," kata pemain Portugal itu.

"Hari ini pasukan mempamerkan kami adalah satu unit yang boleh bertarung. Kami datang ke sini dengan tekanan yang tinggi." - AFP